Di Mana Syurgamu Wahai Suami?
Tuesday, April 15, 2014
Perkahwinan merupakan suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah makhluk ciptaan-Nya. Perkahwinan merupakan satu jalan mencapai keredhaan Allah dalam menuju syurga-Nya. Allah memerintahkan hamba hamba-Nya untuk
berkahwin seperti firman-Nya:
“Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau
perempuan) dari kalangan kamu, dan orang
yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah
An-Nur 24:32)
Kekayaan yang dianugerahi Allah ini bukan semata-mata dalam konteks wang ringgit dan harta, tetapi kekayaan diri yang merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah yang seterusnya mendekatkan kita dengan syurga-Nya. Tanyalah pasangan yang telah berkahwin, pasti mereka berasa nikmat Allah itu meliputi mereka kerana isteri itu tidak lain tidak bukan adalah anugerah Allah. Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah rakamkan dalam Firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan
dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi
kaum yang berpikir. ” (QS. 30:21)
Teringat saya akan skrip dialog yang dipetik dari
filem ‘Sepi’ arahan Khabir Bhatia “Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”
Dialog itu cukup melekat dalam hati saya semenjak
itu dan sering membuatkan saya terfikir-fikir.
Dijadikan isteri itu sebagai anugerah bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila di merasakan dirinya mendapat anugerah yang
istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan itulah yang
dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah
Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak
pernah akan merasa cukup dengan kemilikan itu, dan sentiasa merasa berwaspada akan kehilangannya.
Disebalik anugerah Allah itulah kita akan mendapatkan syurga. Hadith Rasulullah s.a.w
sentiasa mengingatkan kita bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka
yang berkahwin, sehingga disebut Rasulullah telah
sempurna separuh dari agama, maka sebahagianlah
disuruh kita bertakwa. Mengapa begitu besar
ganjaran Allah disebalik anugerah itu yang sudah
pastinya bukan sekadar mengkayakan kita didunia,
malah menambah saham akhirat dengan lipat kali
ganda? Jika ditanyakan pasangan yang berkahwin,
sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak
peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.
Sering lelaki dan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya didalam keluarga. Sehingga isteri itu perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu bergantung pada redha suami menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri dimana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya dimana syurganya didalam rumah tangga? Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan sholat lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah)
Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan
syarat Allah yang terakhir dalam hadith itu untuk
wanita menjejaki syurga. Namun, Allah tidak
menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia
kerana jaminan syurga itu bersifat mutual. Syarat
ke syurga tidak hanya diletakkan kepada isteri,
tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti
keadilan Allah. Oleh karena itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadith lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At- Tirmizi)
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At- Tirmizi)
Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah agar kaun
hawa tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah ketua yang harus ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan
buruk. Syurga yang dijanjikan Allah kepada isteri bersifat mutual kepada suami sekiranya dia
melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk memperingati isteri berkenaan syurganya,
sebaliknya berfikirlah dimana syurgamu wahai
suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita
melayani isteri kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak
kita. Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan
hak-hak isteri yang masih belum kita sempurnakan
dan tunaikan.Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan sebagai
peringatan kepada diri, andai nanti disaat terleka
dan terlupa untuk bertanya dan bermuhasabah
dimana syurgaku.
#copas
0 comments
makasih ya udah baca :)
tambah makasih kalo mau kasih comment dibawah ini ^____^